Ini adalah sambungan bagi entry yg dulu tu..
“Dina, aku nak tanya sesuatu ni.
Boleh tak?” tanya Shamill dengan suara yang cukup perlahan. Menahan perasaan.
“Apa dia?” tanya Dina kembali. “Kau dah tak nak kawan aku lagi ke?” suara
Shamill kedengaran tertahan-tahan. Shamill menunduk. Bergetar hatinya menanti
kata jawapan dari Dina. Takut seandainya jawapan yang keluar tidak seperti yang
diharapkan. “Hmm. Kau dah besar Shamill. Fikirlah apa yang aku cakap tadi. Aku
cuma sangat berharap kau akan berubah sebelum aku betul-betul dah tak mampu nak
tahan dengan perangai kau yang suka ambil mudah semua perkara. Hidup tak pernah
mudah Shamill. Bila kita buat salah, yes, memang kita akan mohon maaf.
Tapi maaf tu dengan tekad kita tak kan ulang lagi kesalahan tu. Kalau sekadar
kau minta maaf lepas tu kau ulang lagi berkali-kali, baik tak payah minta maaf.
Sabar manusia tu ada batasnya Shamill. Memang nabi ampunkan umat dan Allah
sentiasa mengampunkan hamba-Nya. Tapi aku tak seagung Tuhan kita yang Maha
Pemurah yang mampu nak tahan semua perangai buruk kau. Dan hati aku tak semulia
Nabi Muhammad.” terang Dina panjang lebar. Berharap kefahaman dari temannya
itu. “Maaf kalau apa yang aku cakap tadi menyakitkan hati kau. Tapi kalau aku
tak bagitahu kau, selamanya kau tak kan tahu perangai kau yang satu ni
kadang-kadang buat aku naik gila. Tak tahan nak tanggung sakit hati seorang
diri. Kalau kau tak boleh terima apa yang aku cakap tadi dan tak boleh nak
berubah, aku tak boleh nak berkawan dengan kau lagi. Maafkan aku. Aku insan
lemah.” sambung Dina sebelum Shamill sempat membalas apa yang dikatakannya.
Shamill mengalihkan pandangannya menatap wajah Dina. Mencari segaris sinar serius
di balik wajah cantik Dina. Ternyata dia tidak menemui tanda-tanda yang Dina
sedang bergurau. Wajah Dina penuh ketegasan ketika dia menegur perangai Shamill
Irwan yang sudah seringkali membuatnya makan hati. Shamill kembali menunduk
memikirkan kata-kata sahabatnya tadi.
“Boleh bagi aku sikit masa? Aku akan
cuba. Seandainya kau tengok aku tak berubah, aku takkan halang kalau kau memang
betul-betul dah tak boleh tahan nak melayan kerenah aku lagi.” Shamill menjawab
setelah mengambil beberapa saat untuk berfikir. “Ok. Aku bagi kau tempoh
sebulan. Kalau kau boleh ubah perangai kau, kita tetap akan bersahabat. Tapi
seandainya kau kembali pada perangai lama kau lepas sebulan tu, aku tetap akan
kotakan janji kita hari ni.” putus Dina.
Shamill mengangguk dan segera
menghabiskan makanan di pinggannya. Mereka beriringan pulang sampai ke pagar
Fakultas Kedokteran USU. Setibanya di situ mereka mengambil haluan
masing-masing. Dina terus menaiki angkut menuju ke rumah sewanya dan Shamill
membelok ke kawasan parking yang disediakan pihak fakulti untuk para mahasiswa
yang membawa kenderaan ke kuliah. Shamill menghidupkan enjin Revo yang menjadi
tunggangannya sejak di semester kedua dia belajar di situ. Itulah yang menjadi
sandarannya untuk ke kuliah. Dia memacu laju motor kesayangannya menuju ke
kawasan rumah sewanya.
Sampai di rumah, Shamill terus merebahkan diri di atas
katil yang dibelinya sejak dia berpindah ke situ. Pada mulanya dia hanya
bercadang untuk membeli tilam, tetapi apabila bebelan ibunya tidak berhenti-henti
mengingatkannya tentang bahaya tidur hanya dengan tilam, dia mengalah. Dia beli
juga katil bujang sederhana dengan harga yang berpatutan dengan statusnya
sebagai seorang pelajar. Shamill baring dengan perasaan malas. Dia merenung
siling rumahnya yang putih bersih. Dia memikirkan apa yang dia harus lalui
untuk dapat melayakkan diri masuk ke sebuah fakulti perubatan. Macam-macam
dugaan yang ditempuhinya. Terkadang tergugat juga keimanannya dengan dugaan
yang tak ada habisnya.
Sampai sahaja di rumah sewanya, Dina
terus sahaja menuju ke dapur untuk menyediakan bahan-bahan yang diperlukan
untuk masakannya hari ini. Beberapa ketul ayam dikeluarkan dari “freezer” yang
disediakan oleh tuan rumah. Sementara menunggu ketulan ayamnya menjadi tidak
terlalu beku untuk dimasak, Dina masuk ke dalam biliknya dan mengganti pakaian.
Dia menuju ke tandas mengangkat wudhu'. Sejurus selepas itu Dina sudah hanyut
dalam lautan asmara dengan Tuhannya. Solat merupakan tuntutan yang wajib
dilaksanakan setiap insan yang bergelar muslim. Selesai mengerjakan solat Dina
duduk sebentar berzikir sebelum memanjatkan doa kepada Tuhannya yang satu.
Banyak yang dipohonnya. Salah satunya dia memohon agar dia diberikan kekuatan
untuk menunaikan janjinya. Bukan mudah untuk dia menjauhkan diri dari Shamill
yang sudah dianggapnya seperti sebahagian dari dirinya sendiri. Jauh dari
Shamill bererti membuang sebahagian dari dirinya. Lengkapkah dia sekiranya hal
itu benar-benar terjadi? Terkadang sesalan timbul. Bodohkah dia memutuskan
perkara ini sebegini? Inikah akhirnya persahabatan antara dia dan Shamill? Ah,
walau seribu penyesalan yang datang sudah tak berguna lagi. Janji telah dibuat.
Mahu tidak mahu, suka atau tidak dia harus menunaikannya. Dia masih ingat pesan
ayahnya. Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Pantang betul
ayahnya sekiranya janji yang dibuat tidak dipenuhi.
Usai menunaikan janji pada
Rabbnya Dina bangkit mengemas telekung dan sejadahnya. Sepasang kakinya diatur
menuju ke dapur. Dina bersedia untuk memasak juadah berbuka. Ayam yang
dikeluarkannya tadi sudah siap untuk dimasak. Dina pun memulakan tugasnya.
Tidak lama selepas itu, masakannya siap dihidang. Hanya menunggu laungan azan
dari masjid berhampiran menandakan masuknya waktu maghrib. Dina merenung
makanan di atas meja. Ayam goreng dengan sambal belacan dan sayur pucuk ubi
masak lemak. Memang menyelerakan. Tidak lupa ikan kering sebagai penambah
selera. Lauk-pauk yang cukup sederhana. Tiba-tiba dia terkenangkan keluarganya
di rumah. Apalah yang mereka hidangkan diatas meja waktu itu. Perasaan rindu
segera membuak-buak hadir dalam hati Dina. Tak sabar mengenangkan dia harus
bertahan lebih kurang dua bulan lagi sebelum dapat pulang beraya di kampung
halaman. Sehari yang berlalu terasa terlalu lama. Terasa sangat jauh dari
keluarga.
“Allahu Akbar..Allahu Akbar..” laungan azan dari pak bilal
mengejutkan Dina dari lamunannya. Segera Dina beristighfar kerana terlalu jauh
berkhayal. Dia bangkit menuju sink dan membasuh tangan. “ Ain..Farah..jom
berbuka. Apa yang korang buat tu? Tidur lagi ke?” jerit Dina memanggil
teman-temannya untuk makan bersama. Hanya Ain yang berpuasa. Farah pula sedang
menstruasi. “Hehe. Dah azan ke? Tak dengar la dari dalam bilik kitorang.” kata
Ain sambil tersenyum ketika menuruni tangga. “Dah kau tu asyik sangat bercinta.
Mana nak sedar pak bilal dah terjerit-jerit azan.” balas Dina. Farah tersengih
melihat tingkah laku sahabat-sahabatnya. “ Eh, mana Dahlia? Aku tak nampak dia
pun? Dia tak makan sekali dengan kita?” Tanya Farah. “Dia pergi date dengan Ikhwan. Diorang buka puasa
di luar. Dia pesan makan dulu. Tapi, simpankan untuk dia sikit. Dia kata nak
juga makan masakan rumah.” Ain menerangkan sesuai yang dipesan Dahlia
kepadanya.
“Haha..macam-macam lah dia tu.” Farah tersenyum mengenang sahabat
mereka yang sentiasa ada kerenahnya itu. “Hmm..kalau macam tu jom kita makan
dulu.” Kata Irdina. Seperti biasa, Ain mengetuai bacaan doa makan dan mereka
makan dengan berselera. Usai makan Farah ambil giliran mengemas meja makan
untuk memberi laluan kepada kedua-dua sahabatnya menunaikan solat. Farah mencapai tuala mandinya dan menuju ke
bilik air untuk menyucikan diri. Dia sudah boleh mandi wajib malam itu. Mereka
kembali berkumpul untuk study group selepas semua orang selesai menunaikan
solat Isya’. Dahlia pun sudah pulang dan bersedia untuk mengulangkaji
pelajaran. Mereka semua masuk tidur apabila jam di dinding menunjukkan tepat
jam 1.00 pagi. Waktu tidur biasa untuk mereka, kecuali jika ada tugasan yang
perlu disiapkan dan dihantar keesokan harinya. Pada waktu sedemikian, mereka
akan berjaga lebih lama sehingga tugasan mereka selesai. Cuma Farah yang akan
tidur lewat sedikit dari yang lain-lain kerana dia ada tabiat menuliskan semua
aktiviti, kejadian yang terjadi pada dirinya dan apa yang dia rasakan dalam
diari kesayangannya. Farah seorang gadis yang agak pemalu. Dia malu seandainya
sahabat-sahabatnya tahu apa yang dia rasakan. Jadi dia lebih senang andai semua
rasanya itu dicurahkan pada sebuah buku yang tidak mengerti apa-apa.
Shamill masih bergadang walau jam
sudah menunjukkan jam 2 pagi. Banyak benda yang bermain di fikirannya. Tapi,
perkara yang paling utama adalah perbincangannya bersama Irdina petang tadi.
Kecut hatinya memikirkan kesudahan perhubungannya dengan gadis itu. Dia masih
belum bersedia untuk melepaskan seorang sahabat yang dirasakan sangat memahami
dirinya. Dia sedar dia bukanlah seorang sahabat yang baik. Tapi, selama ini
Irdina kelihatan begitu sabar melayan kerenahnya dan begitu memahaminya. Dia
selalu merasa tenang di sisi Irdina. Dia sendiri tidak faham. Tapi, yang pasti
Irdina adalah insan pertama yang akan dia rujuk sekiranya berdepan dengan
apa-apa masalah. Walaupun kadangkala
masalah itu tetap tidak dapat diselesaikan tetapi, berbincang dengan Irdina
membuat hatinya tenang. Kematangan Irdina dalam menghadapi liku hidup cukup dia
kagumi. Bahkan dapat menenangkan orang lain. Memang Irdina seorang gadis yang
istimewa. Irdina juga sangat boleh dipercayai. Dia seorang gadis yang amanah.
Alangkah ruginya dia seandainya kehilangan seorang teman yang cukup sempurna
itu. Minda Shamill terus bergerak. Dia tidak tahu apa yang membuatkan Irdina
sakit hati padanya selama ini. Tapi, dia harus berubah. Dia tidak mahu Irdina
melangkah pergi dari sisinya.
Dia masih ingat pertama kali dia mendekati gadis
itu. Bukan suatu perkara yang mudah. Irdina gadis yang ramah tetapi tegas. Dia
berkawan dengan semua orang tetapi, tidak semua orang boleh masuk dalam
lingkungan teman rapatnya. Tidak ramai pelajar lelaki yang ada nombor
telefonnya. Irdina lebih suka merahsiakannya. Pada mulanya dia dicabar oleh
kawan-kawan serumahnya untuk mendapatkan nombor telefon bimbit Irdina.
Habuannya makan percuma selama seminggu. Pertama kali dia menyuarakan hasrat
meminta nombor keramat itu, hampir gagal. Soalan yang diajukan Irdina bagaikan
sangat tidak ingin nombornya diketahui ramai orang. Mujurlah Shamill terfikir
satu alasan kukuh yang dapat dijadikan sandaran. “Kita kan satu kelompok
praktikum. Nak tanya apa-apa kan susah kalau tak simpan nombor kau.” Begitu
ayat yang dilafazkan. Irdina kelihatan berfikir sejenak kemudian menarik
keluar telefon dari saku beg yang
dibawanya pada waktu itu. “Hmm. Ni
nombor telefon aku. Simpan elok-elok. Kalau hilang aku tak bagi lagi. Jangan
jual pula nombor aku ni.” Pesan Irdina tegas, kemudian dia menyebut deretan
nombor yang membentuk nombor telefon bimbitnya.
Shamill tersenyum lebar dalam
hati membayangkan makanan percuma selama seminggu. “Hehe. Kalau aku nak jual pun bukan ada orang
nak beli. Silap haribulan bagi free pun orang tak nak.” Usik Shamill. Irdina
tersenyum.
Shamill tidak sedar bila dia
melelapkan mata malam tadi. Seingatnya dia sedang mengenang detik-detik
permulaan persahabatannya dengan Irdina. Setelah itu dia tidak tahu apa yang
terjadi. Dia lena di buai mimpi sehingga datang teman serumahnya mengejutkannya
untuk solat subuh. Dia masih ingat senyuman manis Irdina waktu itu. Senyuman
ringkas yang dihiasi lesung pipit di pipi kirinya. Sangat menyenangkan mata
yang memandang. Shamill bingkas bangun menuju ke bilik mandi, mengangkat wudhu’
dan menunaikan solat Subuh. Usai solat dua rakaat itu, shamil berteleku
memanjatkan doa pada Yang Maha Kuasa. Pintanya agar dia di beri kekuatan untuk
mengubah perangai buruk yang sering menyakitkan hati Irdina, sahabatnya. Dia
sangat tidak ingin gadis itu sakit, secara fizikal atau mental. Dia juga
meminta dikuatkan hati untuk berjauhan dari Irdina sekiranya dia tidak mampu
mengubah perilaku buruknya itu.
“Ya Tuhan. Membayangkan terpaksa jauh dari
Irdina pun sudah sesakit ini. Macam manalah keadaanku sekiranya berjauhan terus
dari dia? Kau teguhkanlah hati ku untuk menunaikan janji yang telah kami
persetujui ya Allah. Kau tabahkanlah hatiku.” Pinta Shamill bersungguh-sungguh.
Sebak rasa di hati Shamill mengenangkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal
terjadi.
“Oi! Yang kau senyum kambing
seorang-seorang ni kenapa minah?” sergah Dahlia. “Takde apa-apa lah. Bila pula
kau siap mandi ni? Aku tak dengar pun kau masuk dalam bilik?” tanya Irdina.
“Memanglah tak sedar kalau kau dah sampai alam lain.” Irdina hanya tersenyum
mendengar jawapan sinis dari bibir mungil Dahlia. “Aku masih kat sini lah. Mana
aku nak terbang cik adik? Lain la kalau aku macam si Dahlia tu. Macam-macam tempat
aku nak pergi. Sekejap je dah sampai United Kingdom. Ikut pakwe kau yang jauh di
mata dekat di hati tu.” Dahlia berteriak mendengar jawapan dari Irdina. Masakan
tidak, hajat di hati mengenakan orang, batang hidung sendiri yang terkena. Tawa
riang kedengaran dari bilik mereka.
Tok..Tok..Tok.. Ketukan di pintu kamar mereka
kedengaran. Irdina menyusun langkah menuju ke pintu dan membuka daun pintu.
Kelihatan Anisa, pelajar tahun ketiga di university yang sama berdiri di muka
pintu. “Oh, Kak Nisa. Ada apa ya?” tanya Irdina. “Hmm..korang tengah buat apa
ni? Bunyi macam seronok je akak dengar dari luar tadi.” Tanya Anisa.
“Ohh..bising sangat ke? Sorry sangat akak. Tak sedar pula. Tengah bergelut
dengan si Dahlia ni tadi. Tak sedar pula dah buat bising. Sorry sangat.” Terang
Irdina. “Hmm..takdelah bising sangat. Cuma akak baru je nak start study ni.
Kalau macam tu takpe lah. Akak balik bilik dulu ya.” Jawab Anisa berhati-hati.
Cuba tidak mahu merosakkan suasana harmoni antara mereka selama ini. Walau
kadangkala kelakuan mereka memang menyakitkan hati. “Hish. Ni kau la ni Dahlia.
Kan Kak Nisa dah datang ketuk pintu bilik. Dah. Aku nak pegi mandi ni.” Bebel
Irdina sebaik sahaja Anisa berlalu.
Mereka menuju ke kampus setelah
semua orang bersedia. Setiap dari mereka melangkah ke bilik kuliah
masing-masing dengan semangat baru dan azam baru. Itulah kebiasaan mereka
berdua. Di kelas mereka masing-masing menumpukan sepenuh perhatian. Cuba
menangkap setiap patah perkataan yang diucapkan oleh lecturer. Setiap ucapan lecturer
itu penting. Untuk panduan menghadapi ujian nanti, juga untuk menjalani ujian
yang lebih besar lagi. Setelah bergelar seorang doktor. Farah tidak pernah
termimpi untuk menjadi seorang doktor sebelum ini. Dia sebenarnya lebih gemar
subjek-subjek yang banyak bermain dengan nombor. Matematik, Fizik. Baginya jauh
lebih rasional dan ada jawapan yang pasti. Tidak seperti biologi dan kimia.
Membaca buku dua subjek itu bagaikan membaca buku cerita. Terkadang, bagai
terdengar-dengar suara ibunya membacakan cerita Cinderella; cerita yang wajib
dibacakan padanya setiap malam sebelum masuk tidur. Baru sahaja membaca dua
halaman, dia sudah terlelap. Memang tersiksa nak khatamkan satu buku teks tersebut.
Tapi tak disangka, akhirnya dia tersangkut dengan dua subjek yang amat
membosankannya. Biologi amat perlu untuk dia memahami tubuh manusia. Kimia
sangat perlu untuk dia memahami cara ubat bekerja untuk menyembuhkan sesuatu
penyakit. Kini, perlahan-lahan dia mula belajar untuk mencintai bidang yang
dipilihnya. Memang susah. Tapi dia percaya dia boleh lakukannya. Bagi Irdina
pula, subjek-subjek yang dipelajarinya kini memang menjadi subjek pilihannya
sejak di sekolah menengah lagi. Dia sering saja menjadi pelajar terbaik untuk
subjek biologi dan kimia di sekolahnya. Jadi tidak hairanlah kalau perubatan
menjadi kursus pilihannya. Pekerjaan ayahnya sebagai seorang doktor banyak
mendorong dia memilih cita-citanya itu. Dia ingin menjadi seorang ahli
masyarakat yang baik dan sentiasa menolong masyarakat sekeliling seperti
ayahnya.