Sabtu, 21 September 2013

cinta & sahabat pt 2

Ini adalah sambungan bagi entry yg dulu tu..

“Dina, aku nak tanya sesuatu ni. Boleh tak?” tanya Shamill dengan suara yang cukup perlahan. Menahan perasaan. “Apa dia?” tanya Dina kembali. “Kau dah tak nak kawan aku lagi ke?” suara Shamill kedengaran tertahan-tahan. Shamill menunduk. Bergetar hatinya menanti kata jawapan dari Dina. Takut seandainya jawapan yang keluar tidak seperti yang diharapkan. “Hmm. Kau dah besar Shamill. Fikirlah apa yang aku cakap tadi. Aku cuma sangat berharap kau akan berubah sebelum aku betul-betul dah tak mampu nak tahan dengan perangai kau yang suka ambil mudah semua perkara. Hidup tak pernah mudah Shamill. Bila kita buat salah, yes, memang kita akan mohon maaf. Tapi maaf tu dengan tekad kita tak kan ulang lagi kesalahan tu. Kalau sekadar kau minta maaf lepas tu kau ulang lagi berkali-kali, baik tak payah minta maaf. Sabar manusia tu ada batasnya Shamill. Memang nabi ampunkan umat dan Allah sentiasa mengampunkan hamba-Nya. Tapi aku tak seagung Tuhan kita yang Maha Pemurah yang mampu nak tahan semua perangai buruk kau. Dan hati aku tak semulia Nabi Muhammad.” terang Dina panjang lebar. Berharap kefahaman dari temannya itu. “Maaf kalau apa yang aku cakap tadi menyakitkan hati kau. Tapi kalau aku tak bagitahu kau, selamanya kau tak kan tahu perangai kau yang satu ni kadang-kadang buat aku naik gila. Tak tahan nak tanggung sakit hati seorang diri. Kalau kau tak boleh terima apa yang aku cakap tadi dan tak boleh nak berubah, aku tak boleh nak berkawan dengan kau lagi. Maafkan aku. Aku insan lemah.” sambung Dina sebelum Shamill sempat membalas apa yang dikatakannya. 

Shamill mengalihkan pandangannya menatap wajah Dina. Mencari segaris sinar serius di balik wajah cantik Dina. Ternyata dia tidak menemui tanda-tanda yang Dina sedang bergurau. Wajah Dina penuh ketegasan ketika dia menegur perangai Shamill Irwan yang sudah seringkali membuatnya makan hati. Shamill kembali menunduk memikirkan kata-kata sahabatnya tadi. 

“Boleh bagi aku sikit masa? Aku akan cuba. Seandainya kau tengok aku tak berubah, aku takkan halang kalau kau memang betul-betul dah tak boleh tahan nak melayan kerenah aku lagi.” Shamill menjawab setelah mengambil beberapa saat untuk berfikir. “Ok. Aku bagi kau tempoh sebulan. Kalau kau boleh ubah perangai kau, kita tetap akan bersahabat. Tapi seandainya kau kembali pada perangai lama kau lepas sebulan tu, aku tetap akan kotakan janji kita hari ni.” putus Dina. 

Shamill mengangguk dan segera menghabiskan makanan di pinggannya. Mereka beriringan pulang sampai ke pagar Fakultas Kedokteran USU. Setibanya di situ mereka mengambil haluan masing-masing. Dina terus menaiki angkut menuju ke rumah sewanya dan Shamill membelok ke kawasan parking yang disediakan pihak fakulti untuk para mahasiswa yang membawa kenderaan ke kuliah. Shamill menghidupkan enjin Revo yang menjadi tunggangannya sejak di semester kedua dia belajar di situ. Itulah yang menjadi sandarannya untuk ke kuliah. Dia memacu laju motor kesayangannya menuju ke kawasan rumah sewanya. 

Sampai di rumah, Shamill terus merebahkan diri di atas katil yang dibelinya sejak dia berpindah ke situ. Pada mulanya dia hanya bercadang untuk membeli tilam, tetapi apabila bebelan ibunya tidak berhenti-henti mengingatkannya tentang bahaya tidur hanya dengan tilam, dia mengalah. Dia beli juga katil bujang sederhana dengan harga yang berpatutan dengan statusnya sebagai seorang pelajar. Shamill baring dengan perasaan malas. Dia merenung siling rumahnya yang putih bersih. Dia memikirkan apa yang dia harus lalui untuk dapat melayakkan diri masuk ke sebuah fakulti perubatan. Macam-macam dugaan yang ditempuhinya. Terkadang tergugat juga keimanannya dengan dugaan yang tak ada habisnya.

Sampai sahaja di rumah sewanya, Dina terus sahaja menuju ke dapur untuk menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk masakannya hari ini. Beberapa ketul ayam dikeluarkan dari “freezer” yang disediakan oleh tuan rumah. Sementara menunggu ketulan ayamnya menjadi tidak terlalu beku untuk dimasak, Dina masuk ke dalam biliknya dan mengganti pakaian. Dia menuju ke tandas mengangkat wudhu'. Sejurus selepas itu Dina sudah hanyut dalam lautan asmara dengan Tuhannya. Solat merupakan tuntutan yang wajib dilaksanakan setiap insan yang bergelar muslim. Selesai mengerjakan solat Dina duduk sebentar berzikir sebelum memanjatkan doa kepada Tuhannya yang satu. Banyak yang dipohonnya. Salah satunya dia memohon agar dia diberikan kekuatan untuk menunaikan janjinya. Bukan mudah untuk dia menjauhkan diri dari Shamill yang sudah dianggapnya seperti sebahagian dari dirinya sendiri. Jauh dari Shamill bererti membuang sebahagian dari dirinya. Lengkapkah dia sekiranya hal itu benar-benar terjadi? Terkadang sesalan timbul. Bodohkah dia memutuskan perkara ini sebegini? Inikah akhirnya persahabatan antara dia dan Shamill? Ah, walau seribu penyesalan yang datang sudah tak berguna lagi. Janji telah dibuat. Mahu tidak mahu, suka atau tidak dia harus menunaikannya. Dia masih ingat pesan ayahnya. Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Pantang betul ayahnya sekiranya janji yang dibuat tidak dipenuhi. 

Usai menunaikan janji pada Rabbnya Dina bangkit mengemas telekung dan sejadahnya. Sepasang kakinya diatur menuju ke dapur. Dina bersedia untuk memasak juadah berbuka. Ayam yang dikeluarkannya tadi sudah siap untuk dimasak. Dina pun memulakan tugasnya. Tidak lama selepas itu, masakannya siap dihidang. Hanya menunggu laungan azan dari masjid berhampiran menandakan masuknya waktu maghrib. Dina merenung makanan di atas meja. Ayam goreng dengan sambal belacan dan sayur pucuk ubi masak lemak. Memang menyelerakan. Tidak lupa ikan kering sebagai penambah selera. Lauk-pauk yang cukup sederhana. Tiba-tiba dia terkenangkan keluarganya di rumah. Apalah yang mereka hidangkan diatas meja waktu itu. Perasaan rindu segera membuak-buak hadir dalam hati Dina. Tak sabar mengenangkan dia harus bertahan lebih kurang dua bulan lagi sebelum dapat pulang beraya di kampung halaman. Sehari yang berlalu terasa terlalu lama. Terasa sangat jauh dari keluarga. 

“Allahu Akbar..Allahu Akbar..” laungan azan dari pak bilal mengejutkan Dina dari lamunannya. Segera Dina beristighfar kerana terlalu jauh berkhayal. Dia bangkit menuju sink dan membasuh tangan. “ Ain..Farah..jom berbuka. Apa yang korang buat tu? Tidur lagi ke?” jerit Dina memanggil teman-temannya untuk makan bersama. Hanya Ain yang berpuasa. Farah pula sedang menstruasi. “Hehe. Dah azan ke? Tak dengar la dari dalam bilik kitorang.” kata Ain sambil tersenyum ketika menuruni tangga. “Dah kau tu asyik sangat bercinta. Mana nak sedar pak bilal dah terjerit-jerit azan.” balas Dina. Farah tersengih melihat tingkah laku sahabat-sahabatnya. “ Eh, mana Dahlia? Aku tak nampak dia pun? Dia tak makan sekali dengan kita?” Tanya Farah. “Dia pergi date dengan Ikhwan. Diorang buka puasa di luar. Dia pesan makan dulu. Tapi, simpankan untuk dia sikit. Dia kata nak juga makan masakan rumah.” Ain menerangkan sesuai yang dipesan Dahlia kepadanya. 

“Haha..macam-macam lah dia tu.” Farah tersenyum mengenang sahabat mereka yang sentiasa ada kerenahnya itu. “Hmm..kalau macam tu jom kita makan dulu.” Kata Irdina. Seperti biasa, Ain mengetuai bacaan doa makan dan mereka makan dengan berselera. Usai makan Farah ambil giliran mengemas meja makan untuk memberi laluan kepada kedua-dua sahabatnya menunaikan solat.  Farah mencapai tuala mandinya dan menuju ke bilik air untuk menyucikan diri. Dia sudah boleh mandi wajib malam itu. Mereka kembali berkumpul untuk study group selepas semua orang selesai menunaikan solat Isya’. Dahlia pun sudah pulang dan bersedia untuk mengulangkaji pelajaran. Mereka semua masuk tidur apabila jam di dinding menunjukkan tepat jam 1.00 pagi. Waktu tidur biasa untuk mereka, kecuali jika ada tugasan yang perlu disiapkan dan dihantar keesokan harinya. Pada waktu sedemikian, mereka akan berjaga lebih lama sehingga tugasan mereka selesai. Cuma Farah yang akan tidur lewat sedikit dari yang lain-lain kerana dia ada tabiat menuliskan semua aktiviti, kejadian yang terjadi pada dirinya dan apa yang dia rasakan dalam diari kesayangannya. Farah seorang gadis yang agak pemalu. Dia malu seandainya sahabat-sahabatnya tahu apa yang dia rasakan. Jadi dia lebih senang andai semua rasanya itu dicurahkan pada sebuah buku yang tidak mengerti apa-apa.

Shamill masih bergadang walau jam sudah menunjukkan jam 2 pagi. Banyak benda yang bermain di fikirannya. Tapi, perkara yang paling utama adalah perbincangannya bersama Irdina petang tadi. Kecut hatinya memikirkan kesudahan perhubungannya dengan gadis itu. Dia masih belum bersedia untuk melepaskan seorang sahabat yang dirasakan sangat memahami dirinya. Dia sedar dia bukanlah seorang sahabat yang baik. Tapi, selama ini Irdina kelihatan begitu sabar melayan kerenahnya dan begitu memahaminya. Dia selalu merasa tenang di sisi Irdina. Dia sendiri tidak faham. Tapi, yang pasti Irdina adalah insan pertama yang akan dia rujuk sekiranya berdepan dengan apa-apa masalah.  Walaupun kadangkala masalah itu tetap tidak dapat diselesaikan tetapi, berbincang dengan Irdina membuat hatinya tenang. Kematangan Irdina dalam menghadapi liku hidup cukup dia kagumi. Bahkan dapat menenangkan orang lain. Memang Irdina seorang gadis yang istimewa. Irdina juga sangat boleh dipercayai. Dia seorang gadis yang amanah. Alangkah ruginya dia seandainya kehilangan seorang teman yang cukup sempurna itu. Minda Shamill terus bergerak. Dia tidak tahu apa yang membuatkan Irdina sakit hati padanya selama ini. Tapi, dia harus berubah. Dia tidak mahu Irdina melangkah pergi dari sisinya. 

Dia masih ingat pertama kali dia mendekati gadis itu. Bukan suatu perkara yang mudah. Irdina gadis yang ramah tetapi tegas. Dia berkawan dengan semua orang tetapi, tidak semua orang boleh masuk dalam lingkungan teman rapatnya. Tidak ramai pelajar lelaki yang ada nombor telefonnya. Irdina lebih suka merahsiakannya. Pada mulanya dia dicabar oleh kawan-kawan serumahnya untuk mendapatkan nombor telefon bimbit Irdina. Habuannya makan percuma selama seminggu. Pertama kali dia menyuarakan hasrat meminta nombor keramat itu, hampir gagal. Soalan yang diajukan Irdina bagaikan sangat tidak ingin nombornya diketahui ramai orang. Mujurlah Shamill terfikir satu alasan kukuh yang dapat dijadikan sandaran. “Kita kan satu kelompok praktikum. Nak tanya apa-apa kan susah kalau tak simpan nombor kau.” Begitu ayat yang dilafazkan. Irdina kelihatan berfikir sejenak kemudian menarik keluar  telefon dari saku beg yang dibawanya pada waktu itu.  “Hmm. Ni nombor telefon aku. Simpan elok-elok. Kalau hilang aku tak bagi lagi. Jangan jual pula nombor aku ni.” Pesan Irdina tegas, kemudian dia menyebut deretan nombor yang membentuk nombor telefon bimbitnya. 

Shamill tersenyum lebar dalam hati membayangkan makanan percuma selama seminggu.  “Hehe. Kalau aku nak jual pun bukan ada orang nak beli. Silap haribulan bagi free pun orang tak nak.” Usik Shamill. Irdina tersenyum.
Shamill tidak sedar bila dia melelapkan mata malam tadi. Seingatnya dia sedang mengenang detik-detik permulaan persahabatannya dengan Irdina. Setelah itu dia tidak tahu apa yang terjadi. Dia lena di buai mimpi sehingga datang teman serumahnya mengejutkannya untuk solat subuh. Dia masih ingat senyuman manis Irdina waktu itu. Senyuman ringkas yang dihiasi lesung pipit di pipi kirinya. Sangat menyenangkan mata yang memandang. Shamill bingkas bangun menuju ke bilik mandi, mengangkat wudhu’ dan menunaikan solat Subuh. Usai solat dua rakaat itu, shamil berteleku memanjatkan doa pada Yang Maha Kuasa. Pintanya agar dia di beri kekuatan untuk mengubah perangai buruk yang sering menyakitkan hati Irdina, sahabatnya. Dia sangat tidak ingin gadis itu sakit, secara fizikal atau mental. Dia juga meminta dikuatkan hati untuk berjauhan dari Irdina sekiranya dia tidak mampu mengubah perilaku buruknya itu. 

“Ya Tuhan. Membayangkan terpaksa jauh dari Irdina pun sudah sesakit ini. Macam manalah keadaanku sekiranya berjauhan terus dari dia? Kau teguhkanlah hati ku untuk menunaikan janji yang telah kami persetujui ya Allah. Kau tabahkanlah hatiku.” Pinta Shamill bersungguh-sungguh. Sebak rasa di hati Shamill mengenangkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi.

“Oi! Yang kau senyum kambing seorang-seorang ni kenapa minah?” sergah Dahlia. “Takde apa-apa lah. Bila pula kau siap mandi ni? Aku tak dengar pun kau masuk dalam bilik?” tanya Irdina. “Memanglah tak sedar kalau kau dah sampai alam lain.” Irdina hanya tersenyum mendengar jawapan sinis dari bibir mungil Dahlia. “Aku masih kat sini lah. Mana aku nak terbang cik adik? Lain la kalau aku macam si Dahlia tu. Macam-macam tempat aku nak pergi. Sekejap je dah sampai United Kingdom. Ikut pakwe kau yang jauh di mata dekat di hati tu.” Dahlia berteriak mendengar jawapan dari Irdina. Masakan tidak, hajat di hati mengenakan orang, batang hidung sendiri yang terkena. Tawa riang kedengaran dari bilik mereka. 

Tok..Tok..Tok.. Ketukan di pintu kamar mereka kedengaran. Irdina menyusun langkah menuju ke pintu dan membuka daun pintu. Kelihatan Anisa, pelajar tahun ketiga di university yang sama berdiri di muka pintu. “Oh, Kak Nisa. Ada apa ya?” tanya Irdina. “Hmm..korang tengah buat apa ni? Bunyi macam seronok je akak dengar dari luar tadi.” Tanya Anisa. “Ohh..bising sangat ke? Sorry sangat akak. Tak sedar pula. Tengah bergelut dengan si Dahlia ni tadi. Tak sedar pula dah buat bising. Sorry sangat.” Terang Irdina. “Hmm..takdelah bising sangat. Cuma akak baru je nak start study ni. Kalau macam tu takpe lah. Akak balik bilik dulu ya.” Jawab Anisa berhati-hati. Cuba tidak mahu merosakkan suasana harmoni antara mereka selama ini. Walau kadangkala kelakuan mereka memang menyakitkan hati. “Hish. Ni kau la ni Dahlia. Kan Kak Nisa dah datang ketuk pintu bilik. Dah. Aku nak pegi mandi ni.” Bebel Irdina sebaik sahaja Anisa berlalu.  

Mereka menuju ke kampus setelah semua orang bersedia. Setiap dari mereka melangkah ke bilik kuliah masing-masing dengan semangat baru dan azam baru. Itulah kebiasaan mereka berdua. Di kelas mereka masing-masing menumpukan sepenuh perhatian. Cuba menangkap setiap patah perkataan yang diucapkan oleh lecturer. Setiap ucapan lecturer itu penting. Untuk panduan menghadapi ujian nanti, juga untuk menjalani ujian yang lebih besar lagi. Setelah bergelar seorang doktor. Farah tidak pernah termimpi untuk menjadi seorang doktor sebelum ini. Dia sebenarnya lebih gemar subjek-subjek yang banyak bermain dengan nombor. Matematik, Fizik. Baginya jauh lebih rasional dan ada jawapan yang pasti. Tidak seperti biologi dan kimia. Membaca buku dua subjek itu bagaikan membaca buku cerita. Terkadang, bagai terdengar-dengar suara ibunya membacakan cerita Cinderella; cerita yang wajib dibacakan padanya setiap malam sebelum masuk tidur. Baru sahaja membaca dua halaman, dia sudah terlelap. Memang tersiksa nak khatamkan satu buku teks tersebut. Tapi tak disangka, akhirnya dia tersangkut dengan dua subjek yang amat membosankannya. Biologi amat perlu untuk dia memahami tubuh manusia. Kimia sangat perlu untuk dia memahami cara ubat bekerja untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Kini, perlahan-lahan dia mula belajar untuk mencintai bidang yang dipilihnya. Memang susah. Tapi dia percaya dia boleh lakukannya. Bagi Irdina pula, subjek-subjek yang dipelajarinya kini memang menjadi subjek pilihannya sejak di sekolah menengah lagi. Dia sering saja menjadi pelajar terbaik untuk subjek biologi dan kimia di sekolahnya. Jadi tidak hairanlah kalau perubatan menjadi kursus pilihannya. Pekerjaan ayahnya sebagai seorang doktor banyak mendorong dia memilih cita-citanya itu. Dia ingin menjadi seorang ahli masyarakat yang baik dan sentiasa menolong masyarakat sekeliling seperti ayahnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan